arjuna love uols

Sunday, January 17, 2010

Allah untuk Islam

SAYA amat bersetuju dengan laporan Utusan Malaysia bertajuk 'Allah Untuk Islam - Sultan' pada 12 Januari 2010.

Raja-raja Melayu selaku Ketua Adat Istiadat dan Agama Islam seharusnya memainkan peranan yang lebih agresif dalam mempertahankan penggunaan kalimah Allah di negara ini.
Ini melibatkan kesucian serta kredibiliti agama Islam itu sendiri sebagai agama yang berpegang teguh pada konsep tuhan yang satu dan berbeza dengan agama-agama lain di dunia ini.
Membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam agama lain seolah-olah menyamakan Islam dengan agama tersebut.

Hal ini boleh mendatangkan masalah yang serius kerana ia melibatkan persoalan akidah dan pegangan umat Islam. Sebagai orang Islam, kita sedia maklum menyamakan Allah dengan entiti yang lain atau tuhan agama lain adalah salah. Hukumnya murtad!

Oleh yang demikian, pihak kerajaan perlu bertindak tegas dan tidak membiarkan pihak lain mempolitikkan isu ini untuk kepentingan mereka. Isu agama bukanlah perkara remeh yang boleh dipandang sebelah mata kerana ia melibatkan akidah umat Islam.

Persoalan yang ingin dilontarkan kepada pihak gereja serta para penganutnya iaitu sanggupkah mereka menyamakan tuhan mereka dengan tuhan agama lain?
Rasionalnya, tiada agama yang menyamakan tuhan mereka dengan tuhan agama lain. Perkara ini secara tidak langsung amat menjengkelkan dan memberi gambaran seolah-olah agama Kristian tiada identitinya yang tersendiri.

Hal ini kerana tuhan merupakan pokok pangkal dalam sesuatu agama yang menjadi tonggak pegangan para penganutnya. Dalam Islam sendiri ada menyebut 'Awwaluddin makrifatullah' yang bermaksud "Awal (perkara asas) dalam agama adalah mengenal Allah".

Malah, perbincangan ringkas dengan seorang rakan beragama Kristian juga mendedahkan bahawa beliau agak kecewa dengan tindakan pihak Kristian Katholik yang terus mempertahankan penggunaan kalimah Allah ini.

Menurutnya di dalam ajaran agama Kristian sendiri terdapat banyak nama Tuhan yang sinonim dengan ajaran dan pemahaman agama tersebut. Namun, mengapa kalimah Allah juga yang dipilih?

Sedangkan kita secara umumnya telah sedia maklum bahawa kalimah Allah yang merujuk kepada Tuhan Yang Satu hanya dipraktikkan dalam agama Islam.

Diharap pihak Gereja akan dapat menimbangkan cadangan untuk menggugurkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mereka atas dasar memelihara kesucian kedua-dua agama serta demi kepentingan bangsa dan negara serta masyarakat Malaysia.


RONZI MOHD. YUSOFF
Sungai Dua, Pulau Pinang